Rabu, 5 Ogos 2009

ASAL USUL NEGERI PERAK

Sehingga ke hari ini tiada catatan yang menjelaskan asal nama negeri Perak. Namun demikian, negeri Perak dikaitkan dengan nama sejenis logam iaitu perak. Menurut A. Halim Nasir dalam bukunya yang bertajuk Sejarah Perak, nama Perak diambil sempena nama Sungai Perak yang terletak di Chegar Galah yang terdapat sejenis ikan berwarna putih seperti perak.
Sejarah awal negeri Perak boleh dikaji melalui sumber iaitu Sejarah Melayu dan Salasilah Perak. Menurut kedua-dua sumber ini, Kesultanan Perak diasaskan pada tahun 1528 setelah Tun Saban menghadap Sultan Mahmud Shah, memohon seorang putera baginda untuk dirajakan di Perak. Baginda berkenan menghantar puteranya, Raja Muzafar ke Perak berserta alat kebesaran negeri, iaitu Cura Si Manjakini. Raja Muzaffar telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang pertama dengan gelaran Sultan Muzaffar Shah ibni al-Marhum Sultan Mahmud Shah. Pusat pemerintahannya ialah di Tanah Abang.
Negeri Perak terkenal dengan perdagangan bijih timah, sejak zaman kerajaan Beruas dan Manjung, Perak terus berkembang dan menjadi kaya kerana hasil bijih timah tersebut. Kekayaan hasil Bumi dan kemakmuran Perak menyebabkan kuasa luar berminat menguasainya. Pada tahun 1575, Acheh menawan Perak dan menjadikannya negeri naungan. Keadaan menyebabkan Belanda sukar berdagang dengan Perak. Oleh itu, pada tahun 1651, Belanda mengepung Perak dan memaksa Sultan Perak menandatangani perjanjian dengan Syarikat Hindia Timur Belanda (VOC). Akhirnya pada 13 Mac 1753, perjanjian dimeterai antara perak dengan Belanda yang telah ditandatangani oleh Sultan Iskandar Zulkarnain dan Thomas Acheppers, mengikut Perjanjian tersebut, Perak bersetuju menjual Bijih Timah kepada Belanda.
Pada masa pemerintahan Sultan Mansor Shah di Melaka, Bendahara Megat Terawis telah menentukan sempadan antara Perak dengan Siam. Penetuan sempadan ini memudahkan pembesar Perak memungut cukai. Cukai yang diperolehi daripada lombong bijih timah di klian Intan yang diusahakan oleh orang Reman dari Siam menjadikan negeri Perak kaya. Inilah punca yang menyebabkan kerajaan Siam berminat untuk menakluki Perak. Serangan terhadap Perak yang dilakukan oleh Kedah atas arahan Siam telah dilakukan pada tahun 1816,1818, dan tahun 1819 menyebabkan Perak tewas. Kesannya, Perak telah dipaksa menghantar bunga emas pada setiap tahun. Kerajaan Perak juga hendaklah memebenarkan orang-orang Siam membeli bijih timah dengan tidak membayar cukai, Walau bagaimana pun, tindakan Siam tidak berhasil disebabkan penglihatan British melalui Perjanjian Low di Perak.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila beri Ulasan dengan ikhlas