Jumaat, 1 Mei 2009

BAGAIMANA BERGAUL DENGAN BUKAN ISLAM

ALLAH SWT menjadikan manusia di atas muka bumi ini terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan. Pertembungan di antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim ini telah mewujudkan interaksi pelbagai hala dalam keseluruhan aspek kehidupan manusia.

Namun begitu, kegagalan manusia pada hari ini untuk menghargai kepelbagaian yang dianugerahi Allah SWT ini secara berterusan telah menyebabkan tercetusnya konflik yang menggugat keharmonian sejagat.

Peperangan di antara Muslim dan bukan Muslim seperti yang berlaku Iraq, Afghanistan dan Thailand, pembunuhan etnik di Palestin dan Bosnia Herzegovina, penindasan kerajaan bukan Muslim ke atas rakyat Muslim seperti di Thailand dan Filipina serta puluhan contoh lain adalah bukti yang terhasil daripada konflik tersebut.

Sebenarnya, antara faktor yang mendorong kepada terhasilnya konflik yang sebegini ialah kegagalan kedua-dua golongan untuk menerang dan memahami etika serta undang-undang atau hukum hakam yang wujud di antara mereka.

Malangnya, kesan kekeliruan ini kemudiannya menghasilkan kenyataan atau tindak-tanduk yang akhirnya melukakan hati golongan yang satu lagi.

Sebagai contoh, masih ramai masyarakat umum pada hari ini yang tidak jelas mengapa Islam mengharamkan penganutnya memakan atau menyentuh anjing dan khinzir sedangkan kedua-dua binatang tersebut secara kasarnya tidaklah terlalu memudaratkan. Ada yang bertanya, sekiranya binatang yang lebih ganas dan berbahaya seperti harimau dan beruang boleh disentuh, mengapa tidak bagi khinzir dan anjing?

Sebenarnya, adalah menjadi kewajipan ke atas orang Islam menjelaskan kepada orang bukan Islam akan hal-hal yang sebegini. Dalam isu khinzir dan anjing misalnya, orang Islam tidak dibenarkan menyentuh atau memakan kulit, daging dan segala yang bersangkutan dengan khinzir mahupun anjing kerana ia adalah arahan dari Allah SWT. Namun begitu, pada masa yang sama, Islam tidak pernah menyuruh umatnya untuk membenci apatah lagi menyeksa haiwan-haiwan tersebut.

Malah, pengharaman ke atas anjing dan babi juga tidak bermaksud bahawa orang Islam mesti bermusuh dengan orang bukan Islam yang dibenarkan untuk memakan dan menyentuh haiwan-haiwan tersebut oleh agama mereka.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Sila beri Ulasan dengan ikhlas